satellite

Industri angkasa yang sebenar adalah industri yang melibatkan operasi pembinaan satelit, pembinaan kenderaan pelancar, pembinaan komponen pesawat angkasa dan perkhidmatan pelancaran satelit. Walau bagaimanapun, Malaysia bukanlah secara langsung tidak bergiat dalam industri angkasa. Ini dibuktikan melalui operasi perkhidmatan komunikasi menggunakan satelit yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta Malaysia. Malah Malaysia juga kini mempunyai dua buah satelit komunikasi iaitu MEASAT 1 dan MEASAT 2. Perkhidmatan komunikasi satelit ini merupakan sebahagian daripada komponen industri angkasa.

Kenyataan Law yang mencadangkan pembinaan tapak pelancaran satelit di Malaysia memang patut diberi perhatian oleh agensi kerajaan dan swasta yang berkenaan. Berdasarkan faktor-faktor kritikal, Malaysia memang sesuai dijadikan lokasi pelancaran satelit untuk rantau Asia dan Pasifik Barat. Jika diteliti, kebanyakan pusat pelancaran satelit ataupun pusat pelancaran satelit yang utama terletak berhampiran khatulistiwa. Contohnya adalah Pusat Angkasa Kennedy (Kennedy Space Center) di Florida dan Kosmodrom Baikonur (Baikonur Cosmodrome) di Kazakhstan. Kedua-dua pusat pelancaran satelit ini dibina berhampiran khatulistiwa.

Bumi sentiasa berputar dan putaran ini menghasilkan momentum iaitu suatu bentuk kuasa yang dihasilkan oleh jisim yang bergerak. Kuasa momentum putaran bumi ini mempunyai nilai maksimum di kawasan khatulistiwa kerana satah putaran bumi terletak di khatulistiwa. Oleh itu, kenderaan pelancar (launch vehicle) yang membawa satelit ke angkasa yang dilancarkan dari kawasan khatulistiwa memperoleh kuasa tambahan yang maksimum dari momentum putaran bumi. Kuasa tambahan dari momentum bumi ini amat penting kerana ia menyebabkan pelancaran satelit dari kawasan khatulistiwa menjadi lebih ekonomik. Faktor ekonomi ini meningkatkan lagi nilai komersial industri pelancaran satelit.

Bumi berputar ke arah timur. Oleh itu apabila kenderaan pelancar dilancarkan menegak, ia akhirnya akan condong ke sebelah timur tapak pelancaran. Oleh sebab itulah komponen-komponen kenderaan pelancar seperti enjin roket berperingkat dan tangki bahan api digugurkan di sebelah timur tapak pelancaran. Bagi memastikan komponen-komponen ini digugurkan dengan selamat, kenderaan pelancar biasanya dilancarkan menegak dari lokasi di sebelah timur benua, bagi membolehkan komponen-komponen berkenaan digugurkan di kawasan laut yang terletak di sebelah timur tapak pelancaran.

Sekiranya kenderaan pelancar dilancarkan condong ke arah barat maka ia kurang ekonomik kerana kenderaan pelancar ini terpaksa menentang arah putaran bumi. Walau bagaimanapun ada kalanya pelancaran seperti ini dilakukan bagi meletakkan satelit di orbit-orbit tertentu yang memerlukan pelancaran sedemikian rupa. Oleh sebab itulah memang ada juga tapak pelancaran satelit yang dibina di sebelah barat benua, menghadap kawasan laut di sebelah barat.

Asia Tenggara adalah satu-satunya kawasan geografi Asia dan Pasifik Barat yang terletak di khatulistiwa. Di Asia Tenggara, Malaysia adalah negara yang paling sesuai beroperasi sebagai pusat pelancaran satelit serantau berdasarkan faktor geografi dan ekonomi.

Dari segi geografi, Malaysia terdiri daripada dua buah kawasan geografi utama iaitu Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Di antara dua kawasan geografi ini terletak kawasan laut yang cukup luas dan cukup selamat untuk pelancaran satelit iaitu Laut China Selatan. Kawasan laut inilah yang patut dijadikan kawasan bagi menggugurkan komponen kenderaan pelancar sama ada dilancarkan menegak dari Malaysia Barat atau condong ke barat dari Malaysia Timur.

Sehingga hari ini, perkhidmatan pelancaran satelit merupakan industri yang amat eksklusif yang dimiliki oleh beberapa buah negara sahaja. Oleh sebab itu, industri ini mempunyai nilai yang tinggi dan bersifat strategik. Tambahan pula sebuah kenderaan pelancar boleh melancarkan sehingga 5 buah satelit bergantung kepada jisim, saiz dan misi satelit yang dibawanya.

Malaysia mempunyai aktiviti ekonomi sedia ada yang boleh menyokong dan memperoleh manfaat daripada operasi tapak pelancaran satelit iaitu industri petroleum dan industri komunikasi satelit.

Malaysia juga mempunyai agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan perkhidmatan komunikasi satelit. Dengan adanya tapak pelancaran satelit agensi-agensi ini dapat menawarkan pakej perkhidmatan yang lebih lengkap termasuk perkhidmatan melancarkan satelit komunikasi pelanggan mereka. Operasi pelancaran satelit juga boleh dijadikan bahan tarikan pelancong. Sebagai contoh, Pusat Angkasa Kennedy di Florida yang beroperasi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang utama di Amerika Syarikat seperti Disneyland dan Sea World. Tapak pelancaran satelit boleh beroperasi sebagai satu  destinasi pelancongan di Malaysia, kerana pelancong sememangnya tertarik untuk menyaksikan fenomena pelancaran kenderaan pelancar tersebut.

Operasi tapak pelancaran satelit juga dapat mengembangkan industri pendidikan dan insurans di Malaysia. Dengan adanya operasi tapak pelancaran satelit, institut pendidikan tinggi dapat menawarkan kursus-kursus kajian angkasa seperti teknologi satelit, kenderaan pelancar dan roket. Agensi insurans di Malaysia pula boleh menawarkan pakej insurans satelit dan kenderaan pelancar yang bernilai tinggi.

Komponen utama di sesebuah tapak pelancaran satelit adalah menara dan pelantar pelancaran, menara penyelenggaraan, sistem penyimpanan dan penyaliran bahan api cecair, pusat kawalan dan pusat simpanan satelit dan kenderaan pelancar. Sebahagian daripada komponen ini boleh dibina dengan kepakaran dan teknologi tempatan sementara sebahagian lagi lebih sesuai diimport dari negara-negara maju.

 

~ oleh voice18 di September 18, 2008.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: